Allahyarham Awang Askandar dikurniakan anugerah khas Maulidur Rasul

Awang Askandar meninggal dunia pada Jumaat di usia 56 tahun semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023. - Gambar fail Bernama
Awang Askandar meninggal dunia pada Jumaat di usia 56 tahun semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023. - Gambar fail Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Allahyarham Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dikurniakan Anugerah Khas sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah pada Khamis.

Anugerah Khas itu disampaikan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kepada Timbalan Pengarah APM Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff yang mewakili keluarga Allahyarham berikutan tidak dapat hadir ke majlis berkenaan.

Mohd Muaz berkata, anugerah itu adalah atas sumbangan dan jasa bakti Awang Askandar selama berkhidmat hampir enam tahun sebagai Pengarah APM Kedah.

"Banyak sumbangan Allahyarham terutamanya kepada masyarakat Kedah, Allahyarham banyak terlibat dengan operasi banjir, memberi latihan kepada komuniti dan orang awam, di samping sering bekerjasama dan terlibat dengan aktiviti bersama jabatan dan agensi yang ada di negeri ini.

"Hari ini pegawai-pegawai APM dan rakan-rakan Allahyarham turut hadir ke majlis ini untuk menyaksikan penganugerahan yang cukup bermakna ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan itu di sebuah hotel di sini hari ini.

Mohd Muaz berkata, tayangan montaj mengenai Allahyarham itu nyata memberikan kesan kepada semua yang hadir, terutamanya buat dirinya sendiri serta pegawai dan anggota APM lain.

"Walaupun kejadian yang menimpa arwah sudah lama tapi kami semua rasa bagaikan ia baru sahaja berlaku... kami terkesan melihat montaj itu kerana kehilangan seorang insan yang disayangi dan dihormati yang kami kenali sejak 2017.

"Allahyarham telah dianugerahkan dengan sijil penghargaan, hadiah iringan dan replika cek berjumlah RM7,000 dan kita akan serahkan kepada keluarga arwah yang berada di Sabah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Awang Askandar, 56, meninggal dunia semasa mengikuti misi menawan Gunung Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023) pada Mei lepas, apabila dikatakan terjatuh ketika berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Majlis itu turut menyaksikan Imam Masjid Al-A’la di Jitra, Saidin Dogol, 75, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Imam dan beliau membawa pulang sijil penghargaan, hadiah iringan dan RM7,000.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengarah APM Kedah meninggal dunia ketika misi daki Everest

'Seakan tak percaya adik meninggal ketika misi daki Everest'

Wisma Putra bantu bawa turun jenazah Awang Askandar

Jenazah Awang Askandar tiba di Sabah