Guan Eng nafi projek tanah runtuh Paya Terubong diluluskan ketika jadi Ketua Menteri

Guan Eng menafikan dakwaan bahawa projek pembangunan di kawasan tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini diluluskan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Guan Eng menafikan dakwaan bahawa projek pembangunan di kawasan tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini diluluskan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menafikan dakwaan bahawa projek pembangunan di kawasan tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini diluluskan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang daripada 2008 hingga 2018.

Guan Eng sebaliknya berkata, projek membabitkan pemaju berkenaan hanya diluluskan pada 2023.

"Saya menafikan bahawa projek tersebut diluluskan ketika saya menjadi Ketua Menteri.

"Sebaliknya, projek membabitkan pemaju berkenaan sebenarnya diluluskan pada 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.

Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih itu lagi, kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan tanah yang terlibat dalam kejadian berkenaan adalah milik pemaju dan pemilik tanah manakala kerja-kerja penstabilan cerun masih belum dilaksanakan.

"Sehubungan itu, saya menggesa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari untuk memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas.

"Tindakan berkenaan perlu diambil bagi memastikan keadilan diberikan kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi itu," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata, pemilik tanah dan pemaju perlu bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan sementara kerajaan negeri menunggu laporan lengkap mengenainya.

Tambah Kon Yeow, kedua-dua pihak itu juga perlu melaksanakan kerja mitigasi bagi menjamin keselamatan kawasan berkenaan.

Kon Yeow berkata lagi, pihak terbabit perlu berdepan implikasi undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran berkaitan kelulusan pelan pembangunan selain memastikan langkah pemulihan dan penstabilan cerun dilaksanakan.

Bagaimanapun Guan Eng menegaskan, tindakan tidak seharusnya terhad kepada pemilik tanah dan pemaju sahaja sebaliknya perlu turut melibatkan mana-mana pihak lain yang didapati bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Guan Eng turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi detik sukar itu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!