Kenderaan persendirian guna identiti bomba bukan kenderaan rasmi JBPM Kedah

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan 'Bomba' dan dilengkapi lampu amaran di Sungai Petani.
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan 'Bomba' dan dilengkapi lampu amaran di Sungai Petani.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang menggunakan tulisan 'Bomba' dan dilengkapi lampu amaran khas atau beacon light bukan kenderaan rasmi jabatan itu atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.

JBPM Kedah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan kenderaan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, jabatan sedang mengambil tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan bagi memastikan isu penyalahgunaan identiti jabatan ditangani sewajarnya.

"JBPM Negeri Kedah memandang serius sebarang penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan,” menurut kenyataan itu hari ini. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

JBPM Kedah turut menghargai keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat berkaitan isu berkenaan dan menegaskan kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan maklumat yang disebarkan tepat serta sahih.

Terdahulu tular satu video berdurasi 5 saat yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian menggunakan tulisan 'Bomba' serta dilengkapi lampu amaran didakwa nyaris merempuh beberapa kenderaan lain selepas melanggar lampu isyarat di satu kawasan di Sungai Petani. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!