Jenazah Awang Askandar tiba di Sabah

Jenazah Awang Askandar disambut oleh ahli keluarga Allahyarham dan pasukan APM di MAS Kargo, Kota Kinabalu.
Jenazah Awang Askandar disambut oleh ahli keluarga Allahyarham dan pasukan APM di MAS Kargo, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, tiba di MAS Kargo di sini pada jam 2.20 petang Sabtu.

Ketibaan jenazah disambut oleh ahli keluarga Allahyarham dan pasukan APM serta pemimpin tempatan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Abang kepada Allahyarham, Awang Asim, 57, berkata, pihak keluarga sudah bersedia menunggu ketibaan jenazah.

"Saya mewakili ahli keluarga, manakala isteri Allahyarham menunggu di rumah (Kampung Benoni, Papar)," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Jenazah diterbangkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur dan sebaik tiba, kerandanya diusung oleh pasukan pengusung APM.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir oleh keluarga terdekat serta pengurusan tertinggi APM.

Jenazah juga disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni.

Jenazah Awang Askandar difahamkan akan disemadikan bersebelahan dengan pusara ibunya.

Awang Askandar merupakan salah seorang peserta ME 2023 dan dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh pada 19 Mei lalu semasa berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu hanya 20 minit sebelum sampai ke puncak Everest.

Selain itu, seorang lagi rakan pendaki Allahyarham Awang Askandar iaitu Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak Everest.