Saman fitnah RM150 juta Mahathir, Anwar dimaklumkan pada 4 Disember

SHAH ALAM – Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara pertimbangan dalam menentukan hala tuju saman fitnah RM150 juta yang difailkannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata demikian ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, permohonan dibuat kepada mahkamah supaya dapat memberikan masa kepada anak guamnya untuk mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, perkembangan terbaharu saman itu akan dimaklumkan kepada mahkamah semasa pengurusan kes 4 Disember depan.
“Kita semua sedia maklum mengenai keadaan Dr Mahathir, yang mana saya telah memohon kepada mahkamah untuk memberinya masa dan ruang bagi menentukan langkah seterusnya.
“Kami akan kembali ke mahkamah pada 4 Disember untuk pengurusan kes bagi memaklumkan mahkamah mengenai langkah beliau yang seterusnya,” katanya.
Pengurusan kes itu akan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin, yang mengendalikan perbicaraan berkenaan.
Muhammad Rafique turut mempertimbangkan permohonan supaya prosiding dijalankan secara dalam talian, dengan skop pemeriksaan balas yang terhad.
Perbicaraan saman itu ditangguhkan pada Januari lalu selepas Dr Mahathir terjatuh.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 101 tahun itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Januari lalu untuk pemantauan dan rawatan.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Perlaksanaan Sebuah Idealisme', diteruskan pada 13 Januari lalu.
Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.
Dr Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.
Menurut beliau, ia termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.
Sedangkan katanya, kenyataan berkenaan tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan pada 14 Jun tahun sama mendakwa saman Dr Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera kerana (ketika itu) enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

