Muktamar Pas: Negeri Sembilan bawa usul kukuhkan parti

Pas Negeri Sembilan dijangka bawa usul berkaitan memperkukuhkan parti itu pada Muktamar Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor. - Gambar hiasan
Pas Negeri Sembilan dijangka bawa usul berkaitan memperkukuhkan parti itu pada Muktamar Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan dijangka membawa usul berkaitan memperkukuhkan parti itu terutamanya sokongan pengundi di negeri ini pada Muktamar Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor, Oktober ini.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, bagaimanapun ia belum diperincikan dan diputuskan lagi dalam mesyuarat perhubungan negeri.

"Kalau ikutkan, setakat ini kita belum muktamadkan sebarang usul yang akan dibawa berikutan ia akan dibincangkan dahulu di peringkat negeri.

"Tetapi, mungkin antara usulnya kita akan bawa berkaitan memperkukuhkan parti di negeri ini dalam memastikan sokongan pengundi kekal dan bagaimana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (yang menang Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan) kita boleh dibantu oleh terutamanya negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas termasuk daripada segi kewangannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pas kali ini akan mengadakan muktamar tahunannya di Ideal Convention Centre di Shah Alam, Selangor pada 20 hingga 22 Oktober ini yang dijangka memberi tumpuan terhadap sokongan pengundi muda.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah perkara itu perlu dalam memastikan kedudukan parti terus kukuh susulan golongan tersebut yang dilihat membantu memenangi beberapa sesi pilihan raya lalu.

Dalam pada itu, Rafiei yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkata, selain itu antara fokus lain yang mungkin dibawa pada muktamar itu adalah faktor-faktor kejayaan Pas di negeri ini pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

"Kita berjaya dapatkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita harap selepas ini dapat kerusi Parlimen pula pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN lepas, PN Negeri Sembilan memenangi lima kerusi sekali gus membawa suara pembangkang di dalam DUN negeri ini.

Tiga daripada lima kerusi DUN itu dimenangi oleh Pas iaitu Serting, Paroi dan Bagan Pinang, bakinya Gemas dan Labu dimenangi oleh Bersatu.