Pas putus hubungan DAP bukan sebab hudud tapi mahu bersama UMNO - Mat Sabu

Mat Sabu semasa berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh, Muar pada malam Isnin.
Mat Sabu semasa berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh, Muar pada malam Isnin.
A
A
A

MUAR - Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul hadi Awang bahawa punca parti itu memutuskan hubungan dengan DAP kerana DAP menolak hudud adalah satu pembohongan dan tidak benar sama sekali.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Abdul Hadi tidak menceritakan perkara sebenar punca Pas tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP kerana parti itu mahu bersama UMNO selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013.

Beliau mendakwa, Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

"Melalui perbincangan yang panjang tiba-tiba diisytiharkan Pas putus hubungan dengan DAP, tak timbul masalah hudud tak hudud ni. Ini kerana hal hudud telah dipersetujui dalam perbicangan sebelum itu (bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat).

"Ini kerana hal hudud sudah dipersetujui dalam perbincangan sebelum itu yang berlaku pada 29 September 2011 di Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Mereka yang hadir bagi pihak Pas adalah saya, Hadi Awang, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly (Ahmad).

"Bagi pihak DAP wakil yang datang adalah (Tan Sri) Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Anthony Loke manakala pihak Keadilan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan beberapa lagi," katanya ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata, menerusi perbincangan tersebut semua parti mencapai keputusan yang bersetuju dalam beberapa perkara seperti melawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ), menjadi kerajaan yang bagus, melawan rasuah dan menjunjung Perlembagaan.

Katanya, hanya dua perkara yang tidak dipersetujui dalam perbicangan itu dan satu daripadanya adalah isu hudud serta semua parti selepas itu setuju untuk meneruskan kerjasama politik termasuk Pas.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, Pas bukan sahaja setuju dengan keputusan berkenaan isu hudud tetapi sebelum itu pada 2008 parti itu sanggup melupakan perjuangan Negara Islam dan menggantikan dengan konsep Negara Berkebajikan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, persetujuan Pas menggugurkan perjuangan Negara Islam itu berlaku dalam usaha menggabungkan semula Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakat (PKR) menjelang PRU pada 2008.

"DAP minta Negara Islam tidak disebut dan Pas bersetuju gantikan dengan Negara Berkebajikan, Pas sanggup gugur istilah Negara Islam ganti dengan Kerajaan Berkebajikan. Ada tak pemimpin Pas bagitau perkara ini? Kenapa dia sembunyikan fakta ini, dia bohong," katanya.

Mat Sabu berkata, hudud memang menjadi perjuangan Pas sejak dahulu tetapi apabila mereka mendapat kuasa dan menjadi sebahagian daripada kerajaan, isu tersebut tidak lagi menjadi keutamaan perjuangan mereka.

Sedangkan katanya, mereka boleh membawa usul dan perjuangkan isu hudud di Parlimen malah menteri agama semasa mereka menjadi sebahagian kerajaan adalah daripada Pas tetapi semua itu tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun apabila mereka menjadi pembangkang semula ujar beliau, isu hudud muncul semula dan menjadi modal politik Pas dengan mendakwa mereka memutuskan hubungan dengan DAP kerana perkara tersebut.