Polis gempur makmal, rampas dadah RM9.24 juta

Sasikala Devi (tengah) menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Sasikala Devi (tengah) menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan lima sindiket pemprosesan dan pengedaran membabitkan rampasan dadah bernilai RM9.24 juta dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, pada 8 hingga 16 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, keseluruhan serbuan itu membawa tangkapan 12 individu, termasuk dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun.

Menurutnya, dalam kes pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah menahan seorang lelaki di kawasan rumah kedai di Balakong, Selangor dengan rampasan heroin base seberat 39.5 kilogram (kg) bernilai RM3.4 juta.

"Pada hari sama iaitu 8 September, JSJN Bukit Aman telah menyerbu sebuah makmal pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di Setia Alam.

"Empat suspek termasuk dua warga Sri Lanka dipercayai berperanan sebagai ahli kimia telah diberkas kira-kira jam 4.30 petang dengan rampasan heroin base 1 kg, 720 gram heroin bernilai kira-kira RM102,000 serta bahan kimia untuk memproses dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Sasikala Devi menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Sasikala Devi menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, JSJN Bukit Aman bertindak menyerbu satu lagi makmal dadah di Puchong pada jam 7 petang, hari sama.

Katanya, polis telah merampas minyak methamphetamine seberat 365.62 kg bernilai RM4.8 juta dan menahan seorang lelaki.

Artikel Berkaitan:

"Operasi pada 14 dan 16 September masing-masing di Petaling Jaya dan Bukit Rimau, Shah Alam telah menahan enam suspek dengan rampasan dadah methamphetamine serta ganja bernilai RM896,491," ujarnya.

Tambah Sasikala Devi, sepanjang operasi terbabit, polis telah menyita pelbagai kenderaan dan barang kemas.

"Dipercayai sindiket terbabit adalah lima sindiket berbeza yang telah aktif sejak awal tahun ini dan sindiket menyasarkan dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.