Diskaun premium tanah kepada miskin tegar, OKU

Saarani ketika menjawab soalan lisan ketika Sidang DUN Perak pada Rabu. - Foto Ihsan Urusetia DUN Perak
Saarani ketika menjawab soalan lisan ketika Sidang DUN Perak pada Rabu. - Foto Ihsan Urusetia DUN Perak
A
A
A

KERAJAAN negeri Perak memberikan pengurangan bayaran premium tanah kepada golongan miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU) yang tidak berkemampuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, golongan berkenaan boleh mengemukakan permohonan tersebut untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak telah mengeluarkan Pekeliling Pengarah PTG Negeri Perak Bil. 3 tahun 2020 berkaitan dengan Dasar Permohonan Rayuan Pengurangan Premium kepada kepada pemohon individu yang benar-benar layak.

"Kerajaan negeri memahami dan sentiasa prihatin kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan untuk membayar kadar premium tanah yang tinggi.

"Pengurangan bayaran premium ini berdasarkan syor oleh Pejabat PTG Negeri untuk diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri," katanya kepada ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ong Boon Piow (PH-Bercham) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut memahami keluh kesah rakyat berkaitan tempoh menunggu yang panjang bagi proses kelulusan pemberi milikan tanah, pembaharuan geran, kebenaran penukaran pemilikan tanah dan sebagainya.

Menurutnya, PTG telah mengeluarkan Pekeliling PTG Bil. 1/2022 berkaitan penambahbaikan proses-proses pembangunan seperti Tukar Syarat Dan Pecah Sempadan Serentak (seksyen 124A), Serah Balik Dan Beri Milik Semula (seksyen 204A-H) dan Pecah Sempadan (seksyen 136).

Beliau berkata, selain itu penurunan kuasa daripada Pihak Berkuasa Negeri kepada Pengarah Tanah Galian dan Pentadbir Tanah turut dilaksanakan bagi urusan-urusan tertentu melalui Pekeliling PTG Bil. 11/2022.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penambahbaikan tersebut telah memendekkan tempoh masa untuk memproses permohonan di antara 20 ke 30 hari berbanding tempoh sebelum ini yang lebih panjang.