Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.6875/6915 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6850/6880 pada Isnin. - Foto 123RF
Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.6875/6915 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6850/6880 pada Isnin. - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan tinggi terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu apabila hasil bon 10 tahun AS mencatatkan paras ketinggian baharu, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.6875/6915 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6850/6880 pada Isnin.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata hasil AS yang melonjak ke paras ketinggian baharu memberi kesan kepada ringgit ditambah dengan risiko serantau apabila pasaran agak tertekan dengan pergolakan pasaran hartanah yang sedang berlaku di China.

"Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di AS mengejutkan pasaran dengan pendekatan menaikkan kadar yang membayangkan kemungkinan besar kenaikan lagi kadar pada tahun depan.

"Ini menyebabkan pasaran menilai semula kemungkinan kadar faedah kekal pada paras yang tinggi bagi satu tempoh yang lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Hasil bon 10 tahun AS meningkat 10 mata kepada 4.53 peratus.

Sementara itu ketua ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus kekal lemah berbanding dolar AS berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan penutupan operasi kerajaan AS menjelang 1 Oktober.

Kongres AS sepatutnya meluluskan rang undang-undang perbelanjaan pada akhir September ini, jika tidak, ia akan menyebabkan penutupan operasi kerajaan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dasar monetari ketat yang dilaksanakan Rizab Persekutuan AS telah membantu merangsang pemintaan terhadap dolar AS, kata Mohd Afzanizam.

"Kami percaya peserta pasaran mengambil pendekatan berhati-hati manakala sentimen mengelak risiko terus berlaku,” katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.9673/9716 daripada paras penutup 4.9825/9857 pada Isnin, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1489/1518 daripada 3.1523/1546.

Pada masa yang sama, ia diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara Asean lain

Ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8884/9043 daripada 12.9642/9772 pada Isnin, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 302.5/303.0 daripada 304.1/304.5, menokok berbanding peso Filipina kepada 8.23/8.2 daripada 8.25/8.26 dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.4275/4310 daripada 3.4295/4319 sebelumnya. - Bernama