Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETERANGAN Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell di hadapan House Financial Services Committee mengenai memerangi inflasi AS dan beberapa petunjuk untuk menaikkan kadar faedah telah menyebabkan ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, menandakan penurunan untuk hari keempat berturut-turut.

Pada jam 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.6525/6580 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6430/6470 pada Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang pasaran negara pesat membangun termasuk ringgit terjejas secara negatif kerana kadar faedah di negara maju meningkat dengan pantas selepas lebih sedekad rangsangan monetori.

"Pada masa ini, ringgit berada pada kedudukan lebihan jualan berbanding dolar AS daripada sudut teknikal.

"Mungkin risiko penurunan selanjutnya agak terhad. Paras rintangan dan sokongan semasa bagi dolar-ringgit AS berada pada RM4.7495 dan RM4.6257,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Pada penutupan, unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9496/9567 daripada 5.8975/9026, jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2776/2817 daripada 3.2716/2746 dan berkurangan berbanding euro kepada 5.1182/1243 daripada 5.0678/0722 pada Rabu.

Unit tempatan menguncup berbanding mata wang negara-negara Asean lain kecuali baht Thai.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.2720/2934 daripada 13.3194/3381 semalam, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4697/4740 daripada 3.4546/4578 sebelumnya, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 311.3/311.9 daripada 310.4/310.9 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.38 from 8.34/8.35 semalam. - Bernama