Amalan rasuah dalam pilihan raya membimbangkan - Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amalan rasuah bagi mempengaruhi pengundi dalam pilihan raya di negara ini membimbangkan susulan dua kes sedemikian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas telah dibuktikan di Mahkamah Pilihan Raya setakat ini, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim, bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 kerana mendapati terdapat elemen sogokan dan terbaharu bagi Parlimen Kemaman.

"Ini satu trend yang agak membimbangkan dan dari segi keputusan pilihan raya, kita serah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi dari segi politiknya ia trend membimbangkan kerana sekiranya amalan sogokan itu adalah amalan rasuah, bagaimana sebuah parti yang perjuangkan agama Islam berasa tidak ada salah apa-apa bila terpalit dengan rasuah sedemikian rupa.

"... sekiranya ada parti yang terlibat dengan amalan rasuah dalam pilihan raya maka ini bukan satu amalan yang sihat untuk demokrasi negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat DHL Express Malaysia di Menara TM hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, buat masa ini pihak Kerajaan Perpaduan mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai keputusan terbaharu Mahkamah Pilihan Raya bagi Parlimen Kemaman itu kerana ia masih lagi baharu.

"Ini kerana keputusan mahkamah baru sahaja keluar dan kita belum tahu sama ada pihak terbabit ingin buat rayuan atau tidak, kerana mereka ada tempoh untuk buat rayuan maka kita akan ‘wait and see’ dan semestinya perkara ini dalam perhatian pimpinan kerajaan,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada PRU15.

Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis berkata, pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15 dan mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen. - Bernama

Artikel Berkaitan: