PM pun tak terlepas daripada siasatan polis

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran myPortfolio:Panduan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran myPortfolio:Panduan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan siasatan polis termasuklah dirinya sendiri.

Katanya, di negara ini setiap individu itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan tiada siapa yang boleh mengatasi peruntukan tersebut.

"Polis akan siasat Perdana Menteri juga, tidak ada sesiapa yang berada di kedudukan lebih tinggi daripada undang-undang negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan rugi lebih RM500 juta projek 'land swap'

“Selain daripada mereka yang masih memegang jawatan, tindakan juga akan diambil terhadap bekas-bekas individu yang pernah memegang jawatan dan didakwa terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 di Perdana Putra hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab pertanyaan media terdapat laporan bahawa perjanjian pertukaran tanah (land swap) turut dikatakan berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir, iaitu sewaktu kali pertama menjadi Perdana Menteri.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya mendakwa pelaksanaan 13 daripada 16 projek land swap (penswastaan untuk memajukan tanah) didapati melibatkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, ketika ditanya skandal tersebut mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir ketika menjawat jawatan Perdana Menteri keempat, Mohamad berkata, penyelewengan tersebut berlaku selepas era pentadbirannya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa hasil laporan Jawatankuasa Siasatan tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan 13 daripada 16 projek land swap, Kementerian Pertahanan mendapati ada penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Mohamad Sabu berkata, hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut, pihak JKSTUPKK mendapati bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta.

Menurut Mohamad, kesemua 16 projek ‘land swap’ tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya telah dan akan dipindah milik.