PRK Pelangai: Jangan percaya dakyah tak perlu keluar mengundi - Ismail Sabri

Ismail Sabri menyantuni penduduk Felda Sungai Kemahal pada Selasa.
Ismail Sabri menyantuni penduduk Felda Sungai Kemahal pada Selasa.
A
A
A

BENTONG - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diingatkan tidak terpengaruh dengan dakyah jangan keluar mengundi jika tidak mahu memilih Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat cubaan mempengaruhi pengundi untuk berbuat demikian dengan alasan Barisan Nasional (BN) tetap menjadi kerajaan walaupun tidak menang PRK tersebut.

Justeru, beliau tidak mahu pengundi leka dan percaya dengan apa yang disampaikan.

"Jangan kita terpengaruh dengan alasan UMNO menang pun tak ada bawa perubahan sebab masih memerintah.

"Itu dakyah (PN) yang mengatakan tak perlu beri kemenangan sebab kalau kalah pun UMNO tetap jadi kerajaan di Pahang.

"Mereka sebarkan supaya pengundi leka dan percaya kepada mereka akhirnya, mengundi parti lain atau tak keluar mengundi," katanya ditemui ketika program turun padang di Felda Sungai Kemahal di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yakin gelombang hijau tidak mampu menembusi Pelangai yang menjadi kubu kuat UMNO daripda dulu.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri bersama penduduk menyatakan sokongan kepada calon calon BN bagi PRK Pelangai.
Ismail Sabri bersama penduduk menyatakan sokongan kepada calon calon BN bagi PRK Pelangai.

"Saya percaya gelombang hijau tidak sampai di Pelangai dan BN mampu mengekalkan kerusi.

"Sebab daripada segi sejarahnya kita pernah tidak kalah. Pelangai ini kubu kuat BN untuk UMNO Bentong," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Ia menyaksikan persaingan tiga penjuru daripada calon BN, PN dan Bebas.

BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samad, 63, pula diangkat sebagai calon PN.

Manakala, bekas ahli UMNO Kampung Sum-Sum, Haslihelmy DM Zulhasli bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kereta.