Pengharaman buku 'Gay is Okay!' elak jenayah homoseksual dinormalkan

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan pengharaman buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective' sangat dialu-alukan agar jenayah homoseksual tidak dinormalkan dalam masyarakat Malaysia.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, buku tersebut telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2020.

"Ia kerana (buku itu) berkemungkinan akan memprejudiskan ketenteraman awam, memprejudiskan nilai-nilai moral dan kepentingan awam.

"Tetapi pada tahun 2022 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula membatalkan perintah larangan tersebut," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengembalikan semula perintah mengharamkan buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective'

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk M Gunalan dan Datuk Wong Kian Kheong, dalam keputusan majoriti, membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan penerbit Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin membayar kos RM15,000 kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Kian Kheong berkata, Menteri Dalam Negeri mematuhi sepenuhnya prosedur semasa mengenakan larangan ke atas buku itu mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menteri secara munasabah berpuas hati mendapati bahawa kandungan buku itu berisiko memudaratkan ketenteraman awam.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan, perbuatan homoseksual adalah amalan terkutuk dalam Islam.

"Ia bercanggah dengan norma kemanusiaan. Ia juga salah dan merupakan jenayah dalam perundangan di Malaysia. Konsesus masyarakat Malaysia menolak amalan homoseksual ini," ujarnya.