Sistem pertahanan siber negara terkawal daripada serangan

Adly Zahari - Foto Bernama
Adly Zahari - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sistem pertahanan siber negara berada pada tahap tertinggi dan terkawal daripada serangan siber, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata, kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keseluruhan sistem komunikasi strategik ATM dalam satu rangkaian terselamat dan tidak mempunyai sambungan dengan rantaian internet luar.

"Sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi dan dikawal selia oleh Pusat Pemantauan Pertahanan Siber, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM.

"Dengan langkah berstrategik termasuk tiada sambungan rantaian internet luar, serangan siber ke atas sistem pertahanan negara pada masa ini berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara pada Isnin.

ATM sebelum ini telah menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber di bawah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan ATM pada 2015, yang antara unit lain bertanggungjawab memantau dan menghalang sebarang bentuk pencerobohan terhadap sistem pertahanan negara.

Adly berkata, bagi sistem yang memerlukan sambungan internet, BSEP ATM memantau rapat sebarang aktiviti mencurigakan dengan BSEP sentiasa bersiap siaga mendepani sebarang bentuk kemungkinan serangan siber terkini.

Beliau berkata, kebiasaannya sistem yang memerlukan sambungan internet luar adalah lebih kepada hal-hal pentadbiran.

Sementara itu berhubung usaha menangani serangan siber dalam bentuk pancingan data (phishing) dan serangan perisian (ransomware), Adly berkata kementerian itu telah mengambil beberapa langkah proaktif, termasuk menjalin kerjasama dua hala dan pelbagai hala serta perkongsian maklumat ancaman siber dengan negara luar selain mewujdukan BSEP ATM.

"Kita juga merancang untuk menubuhkan Pusat Pemerintahan Siber ATM bagi mewujudkan angkatan siber yang berkredibiliti, berteknologi tinggi dan berkepakaran dalam mendepani ancaman global,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: