Muda gesa kerajaan mansuhkan Akta Hasutan 1948

Amir Abd Hadi.
Amir Abd Hadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan memansuhkan segera Akta Hasutan 1948 dan meminta pemimpin politik dalam Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berpegang teguh dengan agenda reformasi.

Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi berkata, penggunaan akta itu meningkat sebanyak 1,000 peratus dari 2012 hingga 2015 sejak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menunjukkan bagaimana ia digunakan untuk tujuan politik.

Beliau mendakwa, rata-rata yang disiasat dan didakwa ketika itu terdiri daripada ahli politik serta aktivis pembangkang, tetapi kini merupakan sebahagian dari kerajaan.

“Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) ditubuhkan bersama parti berkenaan pada 2014 yang disokong pimpinan pembangkang ketika itu bersama ratusan badan bukan kerajaan (NGO).

“Tiga tuntutan dikemukakan iaitu memansuhkan Akta Hasutan 1948, menggugurkan semua pertuduhan di bawah akta berkenaan dan membebaskan tahanan serta pemansuhan tersebut tidak digantikan dengan yang lebih zalim.

“Saya menggesa kerajaan, khususnya rakan-rakan dalam PH kembali berpegang dengan agenda reformasi yang sekian lama dilaungkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 sejak 2014.

Menurut laporan Sinar Harian, Wan Ji dikatakan menghasut dan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi hantaran media sosial serta dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan.

Artikel Berkaitan:

Amir menerangkan, pihaknya tidak bersetuju dengan sebarang kenyataan bersifat menghina kepada sesiapapun, namun mempersoalkan komitmen kerajaan yang sekian lama berjuang melawan akta tersebut.

“Semoga Wan Ji dipermudahkan urusan dan diberikan kekuatan.

“Saya mendoakan agar kuasa tidak membutakan mata kita, mansuhkan Akta Hasutan 1948,” ujar beliau.