Wan Ji gagal rujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan

Wan Ji
Wan Ji
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menolak permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan membabitkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dihadapinya ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suarat membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan selaku responden terhadap permohonan yang dikemukakan Wan Ji, 41.

Hakim Vazeer Alam dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan responden bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

"Apa-apa persoalan undang-undang boleh diutarakan semasa pendengaran rayuan dalam kes ini kelak. Oleh itu, permohonan dalam notis usul (Wan Ji) ditolak,” kata Hakim Vazeer Alam yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Wan Ji memohon agar mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan dihadapinya ke Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan itu atas alasan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan, namun tiada bidang kuasa untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

"Persoalan undang-undang juga tidak dibangkitkan (perayu) di peringkat Mahkamah Tinggi mahupun permohonan untuk merujuknya ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Sept ini untuk mendengar rayuan Wan Ji terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini pada 10 pagi, 5 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun. - Bernama