Hasut, hina Sultan Selangor: Wan Ji dipenjara hari ini

PUTRAJAYA - Wan Ji Wan Hussin dipenjara bermula Isnin selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini, berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, pada 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian apabila sebulat suara menolak rayuan sabitan Wan Ji kerana mendapati rayuan penceramah bebas berusia 41 tahun itu tidak bermerit.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Wan Ji terhadap hukuman dengan memerintahkan dia hanya dipenjara sembilan bulan sebagai mana yang diputuskan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 April 2018.
Berdasarkan keputusan itu, Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang menambah hukuman itu daripada sembilan bulan kepada setahun.