Jumlah mangsa banjir di Perak, Sabah, Sarawak menurun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri yang terjejas dengan bencana itu menurun sedikit dengan 274 orang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 299 orang pagi tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa yang terlibat dari Kampung Matang Tengah, daerah Kerian masih kekal seramai 38 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak setakat 7 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, dalam kenyataan, memaklumkan keadaan cuaca hujan di lokasi banjir ketika ini sudah berhenti namun masih mendung.

Katanya, laluan FT 147 Jalan Bagan Serai Cangkat Lobak masih ditutup akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah untuk membuat perjalanan ke destinasi masing-masing.

Di SARAWAK, situasi banjir yang melanda daerah Limbang beransur pulih dengan hanya 12 mangsa daripada empat keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui setakat jam 8 malam ini berbanding 33 orang pagi tadi.

Menurut laporan Sekretariat JPBN Sarawak, mangsa terlibat adalah dari Kampung Buluh Balui, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak.

Di SABAH, mangsa banjir di Beaufort menurun kepada 224 mangsa daripada 70 keluarga malam ini berbanding 231 orang daripada 73 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Sabah, dalam kenyataan, memaklumkan kesemua mangsa banjir daripada lima kampung di Beaufort itu ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak semalam susulan banjir berikutan hujan lebat berterusan. - Bernama

Artikel Berkaitan: