Tokoh pendidikan negara, Asiah Abu Samah meninggal dunia

Asiah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu negara pada usia 89 tahun.
Asiah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu negara pada usia 89 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Dr Asiah Abu Samah meninggal dunia pada Rabu di sebuah hospital swasta di ibu negara pada usia 89 tahun.

Allahyarham yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5 pagi tadi.

Menurut poster takziah yang diedarkan, solat jenazah akan diadakan selepas solat Zuhur di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail di sini, manakala urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Asiah yang dilahirkan pada 1 Mac 1937 di Parit, Perak, merupakan tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan pemantapan sistem pendidikan negara.

Allahyarham mendapat pendidikan di Universiti Malaya, Singapura, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sejarah serta Diploma Pendidikan sebelum memulakan kerjaya sebagai guru di Penang Free School pada 1961.

Sepanjang kerjayanya, Asiah pernah berkhidmat sebagai pensyarah bahasa di Institut Bahasa Lembah Pantai, sebelum dilantik menjadi Pengetua Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dari Disember 1966 hingga September 1970.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia pendidikan negara, khususnya dalam usaha membangunkan sistem pendidikan kebangsaan.

"Dukacita menerima khabar pemergian Tan Sri Asiah Abu Samah, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

"Sebagai wanita pertama yang memegang amanah ini, Allahyarham telah merintis jalan buat wanita dalam kepimpinan pendidikan negara. Jasa beliau akan terus dikenang oleh kita yang menyambung amanah mendidik anak-anak Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina mewakili seluruh warga Kementerian Pendidikan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang. Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.

"Terima kasih Tan Sri atas segala khidmat dan bakti buat pendidikan negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!