Usah buat perangai di Pelangai, kata pengundi

Kempen PRK Pelangai bermula semalam usai proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 6 Oktober depan. - Foto Bernama
Kempen PRK Pelangai bermula semalam usai proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 6 Oktober depan. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - "Usah buat perangai tidak elok di Pelangai,” itu permintaan penduduk kepada parti politik yang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Kempen PRK Pelangai bermula semalam usai proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 6 Oktober depan.

Bagi Sharif Muhammad, 36, dari Kampung Shafie di sini, semua pihak perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk tidak menggangu gugat keharmonian dan ketenteraman kawasan berkenaan, dengan kempen berlebihan termasuk melibatkan isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

"Sini (DUN Pelangai) memang banyak Felda, tetapi juga dihuni masyarakat pelbagai kaum, jadi jangan mainkan perkara yang boleh mencetus suasana tidak harmoni, jaga bahasa, kerana trend ketika ini apa yang diperkatakan pemimpin dan tular, akan menjadi ikutan anak-anak muda,” katanya kepada Bernama.

Sharif berkata, beliau tidak mahu, kehidupan masyarakat di situ yang akrab dan saling bantu membantu antara satu lain, renggang akibat isu-isu yang dipolitikkan.

Warga emas, Sabar Sarip, 66, berkata, sebagai orang yang lahir, membesar dan menetap di Simpang Pelangai, jiwanya amat sebati dengan kawasan DUN itu yang disifatkannya cukup tenang.

"Sekarang ramai orang luar masuk, kita di dalam DUN ni sambut semua, datang lah ke sini, berkempen lah, kita raikan dari mana-mana parti pun asalkan tidak bawa perkara negatif, yang beri kesan tidak baik kepada kami penduduk di sini,” katanya.

Pengerusi Tok-Tok Batin Pahang, Razak Beretong pula berpendapat, calon-calon yang bertanding perlu menggunakan platform kempen secara berhemah, dengan memperjuangkan isu-isu setempat termasuk membabitkan komuniti Orang Asli di DUN itu.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, komuniti Orang Asli yang majoritinya penoreh berdepan masalah pendapatan, memandangkan harga getah amat rendah ketika ini sekitar RM2.70 sekilogram, ditambah peningkatan kos harga barang mentah jadi ekonomi keluarga pun tidak menentu, jadi banyak isu lain, jangan sentuh isu-isu terutama 3R,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh perkara yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam, termasuk isu 3R sepanjang kempen PRK DUN Pelangai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, negeri Pahang, yang digelar Darul Makmur sememangnya terkenal dengan politik sederhana.

"Terutamanya di Pelangai ketika ini, di mana kita maklum sedang berhadapan dengan PRK, namun itu bukan tiket untuk kita atau mana-mana parti bertanding, memburukkan atau berkempen secara berlebih-lebihan.

"Sebaiknya, kita sama-sama sahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, untuk semua pihak bertanding bentangkan laporan prestasi mereka, untuk jadi rujukan rakyat membuat pilihan siapa mereka mahu, bukan sekadar bermain persepsi dan kelirukan pengundi,” katanya.

PRK Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam; Kasim Samat (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. - Bernama