Sekat peruntukan: Nak dera rakyat atau parti menang pilihan raya?

Ahmad Samsuri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini pada Rabu.
Ahmad Samsuri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas mempersoalkan cadangan dibawa daripada sesetengah pihak yang mahu kerajaan menyekat peruntukan diberikan kepada negeri dan ahli Parlimen pembangkang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan itu seolah menghukum rakyat selain memberi kesan langsung kepada mereka.

"Kita kesal dengan pandangan-pandangan sedemikian iaitu menyekat peruntukan kewangan kepada pembangkang (Ahli Parlimen dan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional).

"Ia disifatkan memandang ke belakang bukan nak bergerak ke hadapan. Kalah menang dalam pilihan raya ini adalah sesuatu yang biasa.

"Takkanlah sebab kekalahan itu terus kecewa dan putus harap macam tak ada harapan langsung dalam kehidupan ini. Yang penting kita pastikan rakyat dalam negeri atau negara tidak terjejas.

"Usul (menyekat peruntukan pembangkang) nak bawa itu tentulah akan beri kesan kepada rakyat. Jadi mereka ini nak dera rakyat ke atau parti yang menang dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak agar menyekat peruntukan tersebut, sebaliknya menyalurkannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, mereka perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka.

Sedangkan ujar Anwar, ia hanya melibatkan untuk ahli Parlimen sahaja di mana peruntukan di kawasan dan rakyat tetap disalurkan melalui beberapa projek kepada rakyat.