Polis siasat dakwaan pelancong China ada kamera tersembunyi dalam hotel

Tular di media sosial mengenai pasangan dari China menginap di sebuah tempat telah menemui kamera tersembunyi dari salah satu soket di bilik mereka. Gambar kecil: Mohd Zaidi
Tular di media sosial mengenai pasangan dari China menginap di sebuah tempat telah menemui kamera tersembunyi dari salah satu soket di bilik mereka. Gambar kecil: Mohd Zaidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Kota Kinabalu menafikan dakwaan seorang warga China diminta memadamkan hantarannya di media sosial berhubung kes kamera tersembunyi di sebuah tempat penginapan di daerah ini.

Pihak polis sebaliknya mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima laporan itu dan siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya telah menerima dan meneliti satu paparan yang ditularkan melalui media sosial berkaitan sepasang warga China yang menemui kamera kecil tersembunyi di sebuah tempat penginapan di daerah ini.

Menurutnya, pihak polis mengesahkan telah menerima laporan polis daripada pengadu warga China tersebut pada 7 September lalu pada jam 5.27 petang.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan awal telah dijalankan di lokasi termasuk rampasan terhadap barang kes telah dibuat selain usaha untuk mengenal pasti suspek sedang dijalankan.

"Pihak polis juga ingin menafikan telah meminta pengadu memadam hantaran yang dibuat oleh pengadu di dalam platform media masanya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai pasangan dari China menginap di sebuah tempat telah menemui kamera tersembunyi dari salah satu soket di bilik mereka.

Dalam hantaran itu, pasangan terbabit menceritakan mereka telah mendaftar keluar keesokan harinya selain turut membuat laporan polis pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa ejen tempat penginapan itu telah menuduhnya sengaja mengelak daripada membayar tempat penginapan tersebut.

Hantaran itu turut mendakwa pihak polis menyuruhnya memadamkan hantaran di media sosial dan dia memadamnya tanpa berfikir panjang namun selepas pulang ke negaranya, hantaran itu dikongsi semula sebagai amaran kepada orang lain.