JPJ sita lori bawa muatan lebih had, dipandu warga China

JPJ Kuala Lumpur bertindak menahan lori yang dipandu warga China dalam operasi di Jalan Gombak Lama, pada Khamis.
JPJ Kuala Lumpur bertindak menahan lori yang dipandu warga China dalam operasi di Jalan Gombak Lama, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bertindak menyita tiga lori lebih muatan yang dipandu warga China menerusi operasi di Jalan Gombak Lama, Batu 16, di sini pada Khamis.

Lebih menyulitkan, ketiga-tiga pemandu itu gagal bertutur dalam bahasa Inggeris hingga penyelianya terpaksa hadir untuk tindakan lanjut.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, operasi bermula jam 8 pagi itu bertindak menahan tiga lori jenis tipper dumper yang membawa muatan batu gunung melebihi had ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu.

"Lori terbabit telah dibawa ke Stesen Penguatkuasa JPJ (SPK) Gombak untuk timbang dan mendapati muatan telah melebihi had sebelum tindakan sitaan dibuat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tiga pemandu lori warga China yang ditahan JPJ Kuala Lumpur semasa operasi di Jalan Gombak Lama, pada Khamis.
Tiga pemandu lori warga China yang ditahan JPJ Kuala Lumpur semasa operasi di Jalan Gombak Lama, pada Khamis.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan itu berikutan aduan penduduk akibat jalan rosak dan berhabuk disebabkan kenderaan perdagangan membawa muatan melebihi had.

Tambah Mohd Zaki, operasi terbabit juga dilaksanakan JPJ Kuala Lumpur bagi mengesan kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan 1959 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan adalah untuk memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Penguatkuasaan ini diadakan secara menyeluruh dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.

Jelasnya lagi, sepanjang penguatkuasaan yang dijalankan dalam tempoh minggu ini, JPJ Kuala Lumpur turut mengesan kesalahan lain antaranya, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, membawa muatan secara bahaya, bawa kayu penyendal secara tidak selamat, tiada lesen memandu, tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) serta kesalahan teknikal seperti ubah suai kenderaan tanpa kebenaran dan tiada lampu brek.