KPDN serbu dua stor simpan 42,300 liter diesel subsidi

Lori yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel bersubsidi secara haram.
Lori yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel bersubsidi secara haram.
A
A
A

PORT DICKSON - Hanya dalam tempoh sehari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan 42,300 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM90,945 di daerah ini pada Jumaat.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kejayaan itu hasil serbuan Ops Tiris dilakukan di dua lokasi premis berbeza yang dijadikan stor pengumpulan dan pemindahan minyak diesel secara haram.

"Dalam serbuan jam 12.40 malam itu di Lukut di sini, sejumlah 7,300 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM15,695 telah diselamatkan.

"Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah lori tangki, sebuah lori, tangki IBC serta pam dan hos minyak yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM50,295," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Lori tangki yang dirampas KPDN.
Lori tangki yang dirampas KPDN.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis tersebut telah ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah.

"Dia didapati melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Serbuan kedua kira-kira jam 2.30 petang yang turut melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Cawangan Risik Polis Diraja Malaysia Bukit Aman telah menyelamatkan 35,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM75,250.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas di premis itu ialah dua buah lori tangki, sebuah lori, tangki IBC serta peralatan yang digunakan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM166,050," katanya.

Lori yang dugunakan untuk pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram.
Lori yang dugunakan untuk pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram.

Ujarnya, tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 39 tahun turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Muhammad Zahir berkata, dua kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tegasnya, pihaknya sentiasa komited dan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!