Empat lelaki diberkas dengan rampasan 3,500 liter diesel subsidi

Diesel bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Seksyen 33 pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Iqbal
Diesel bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Seksyen 33 pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Iqbal
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan seleweng diesel bersubsidi dengan menggunakan lori yang diubah suai terbongkar selepas diserbu polis di sebuah premis di Seksyen 33 dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi itu dijalankan Pasukan Risik Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5.30 pagi dan berjaya menahan empat lelaki termasuk tiga warga Bangladesh.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan premis yang disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi.

"Premis itu melibatkan lot tanah yang bertutup dengan pagar zink selain binaan besi seperti stor beratap.

"Serbuan itu membawa kepada tangkapan empat suspek berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun yang berperanan sebagai pemandu lori serta pekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebuah premis yang disyaki menjalankan operasi menyeleweng diesel bersubsidi di Seksyen 33, Shah Alam diserbu pada Jumaat.
Sebuah premis yang disyaki menjalankan operasi menyeleweng diesel bersubsidi di Seksyen 33, Shah Alam diserbu pada Jumaat.

Beliau berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan 3,500 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM7,525 selain empat buah lori yang diubah suai.

Katanya, dipercayai lori itu digunakan suspek dalam kegiatan penyelewengan diesel terbabit.

"Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.