15 tahun sebagai penggali kubur, pemuda ini berkongsi kisahnya

Seorang penggali kubur, kerjanya tidaklah popular namun besar manfaatnya kepada masyarakat.
Seorang penggali kubur, kerjanya tidaklah popular namun besar manfaatnya kepada masyarakat.
A
A
A

PENGGALI kubur, kerjanya tidaklah popular namun besar manfaatnya kepada masyarakat.

Seperti dikongsi, kisah lelaki ini untuk memlilih dan menabur bakti kepada masyarakat setempat sebagai seorang penggali kubur.

Disebabkan minat mendalam, sudah 15 tahun pemuda ini berada dalam kerjayanya dan sememangnya ia bukanlah satu tempoh yang singkat.

Berkongsi cerita mengenai kerjaya itu, Ramdzan Razali,37, berkata segala-galanya bermula dengan perasaan ingin tahu sekali gus mendorongnya untuk cuba-cuba menimba ilmu daripada orang yang lebih berpengalaman.

"Sebenarnya minat ini bermula sejak sekolah menengah lagi. Mula-mula ikut orang ke kubur apabila terdengar berlaku kematian.

"Disebabkan selalu ikut, saya terasa nak ambil tahu. Takkan nak tengok saja. Saya ringankan mulut bertanya orang yang lebih berpengalaman.

"Mungkin juga disebabkan arwah datuk, bapa dan pakcik juga pernah bergelar seorang penggali kubur, jadi ia seperti kerjaya turun-temurun. Sekarang giliran saya pula.

"Dua adik lelaki pun saya 'heret' juga apabila mereka ada kelapangan waktu," ujarnya ketika ditemui laman portal tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan seorang penjual burger di kampungnya menambah, rutinnya setiap kali menerima tugasan adalah mengenal pasti lokasi tapak yang sesuai sebelum menggali kubur.

"Apabila terima berita kematian, team yang incharge akan maklumkan. Kemudian saya pergi ke kubur, periksa kelengkapan perkakas dan mengenal pasti tempat untuk digali.

"Seeloknya, kawasan tanah yang lapang. Kalau ada request daripada waris yang nak kebumi si mati berdekatan dengan ahli keluarga, kena tengok kesesuaian dahulu. Sebab takut tak ada tanah kosong... bimbang bertindan dengan mayat lain.

"Yang pasti, sebelum mulakan tugas, bacaan doa memang dah jadi rutin. Saya panjatkan doa mohon ALLAH permudahkan tugas daripada awal sehingga akhir," ujarnya yang kini menetap iaitu Kampung Pisang, Air Itam, Pulau Pinang.

Sudah 15 tahun pemuda ini berada dalam kerjayanya dan sememangnya ia bukanlah satu tempoh yang singkat.
Sudah 15 tahun pemuda ini berada dalam kerjayanya dan sememangnya ia bukanlah satu tempoh yang singkat.

Berkongsi pengalaman ketika menggali kubur

Belasan tahun berpengalaman sebagai penggali kubur, Ramdzan turut berkongsi kisah yang tidak dapat dilupakan olehnya sehingga kini.

"Bagi penggali kubur, ternampak kain putih itu perkara normal. Ia adalah kain kafan daripada kubur bersebelahan. Tapi satu kisah ini, ketika tengah mencangkul, tiba-tiba ada air mengalir di kiri dan kanan liang.

"Aliran air itu tidaklah laju... ia sekejap-sekejap keluar. Namun disertai dengan bau busuk yang sukar untuk saya gambarkan. Pendek kata, saya tak pernah hidu bau seperti itu.

"Saya hanya teruskan dan berdoa moga dilancarkan. Kalau ada benda macam ni, jangan takut atau jangan lari. Mungkin ALLAH nak uji.

"Kisah kedua, mata cangkul saya tersangkut. Ingatkan ada kayu atau papan keranda lama. Bila kuis-kuis, rupanya tengkorak orang. Tergamam kejap.

"Selain itu, saya sangat tersentuh kalau gali kubur untuk bayi. Pernah satu ketika, dua bayi meninggal dunia pada hari yang sama. Perasaan saya sukar digambarkan kalau libatkan jenazah bayi... sedihnya lain macam sebab kita tahu, tempatnya pasti di syurga," ujar bapa kepada dua orang anak ini.

Dalam pada itu, Ramdzan sempat menitipkan pesanan khususnya buat generasi muda agar memanfaatkan masa lapang dengan menimba ilmu berkaitan pengurusan jenzah mahupun mencari pengalaman sebagai penggali kubur.

"Satunya, ia secara tidak langsung menginsafkan dan membuatkan kita berfikir mengenai mati. Keduanya, sedikit sebanyak kita boleh menjadi pelapis untuk generasi yang sudah tua.

"Ilmu yang kita dapat, nanti kita perturun pula dekat anak atau adik-adik. Tak rugi pun belajar perkara yang bermanfaat," titipnya.