Bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah: Pemuda kekal dijel, seorang lagi bebas

Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz tersebut.
Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz tersebut.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda 22 tahun, kekal ditahan di penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin berhubung kematian 23 penghuni tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu.

Sementara seorang lagi rakannya yang juga berusia 22 tahun, kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Ia membabitkan kejadian menyayat hati pada 14 September 2017 lalu, apabila seramai 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz terkorban dalam kebakaran, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama itu.

Keputusan sebulat suara ini diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Che Mohd Ruzima berkata, bagi perayu pertama atau pesalah kanak-kanak satu (PKK1), panel hakim mendapati, tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, bagi membuktikan kes di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 71 saksi dan tidak dipertikai bahawa mereka bergantung kepada keterangan mengikut keadaan.

Katanya, tiada saksi melihat PKK1 meletakkan tong gas di hadapan pintu asrama di tingkat tiga sekolah itu, mencurahkan petrol di rak kasut dan menyalakan api untuk membakar bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun, ada saksi mengecam PKK1 sebagai orang yang memanjat pagar tahfiz dan ia disokong menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersebelahan bangunan terbakar itu.

Artikel Berkaitan:

“Rakaman juga diperoleh di stesen minyak, pusat snuker dan rumah jiran PKK1, yang menunjukkan dia memegang satu botol bahan bukti,” katanya.

Selain itu hakim ini menyatakan, mahkamah menerima keterangan penemuan pemetik api yang ditunjukkan sendiri oleh PKK1, dalam bilik tidur rumahnya kepada pihak polis.

Beliau berkata, ia menunjukkan PKK1 mengetahui pemetik api mana yang ingin digunakan untuk memulakan kebakaran.

Katanya, berdasarkan siasatan pihak forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, terdapat kesan dari bahan petrol dan tong gas yang dihala ke pintu bangunan tahfiz menjadikan punca kebakaran disengajakan.

Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, beliau berkata, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan membunuh.

“Bagi elemen ketiga, melalui keterangan mengikut keadaan pendakwaan berjaya membuktikan PKK1 bertanggungjawab memulakan kebakaran di sekolah berkenaan.

“Elemen keempat pula, PKK1 yang memulakan kebakaran, tahu bahawa perbuatannya itu berbahaya, mungkin menyebabkan kematian dan mendatangkan risiko,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, dapatan Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mensabitkan kesalahan terhadap PKK1 adalah selamat dan harus dikekalkan, maka rayuan perayu ditolak.

Beliau berkata, memandangkan tiada hujahan dikemukakan pihak pembelaan berhubung dengan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi maka keputusan penjara yang dikenakan juga dikekalkan.

Sementara itu, bagi keputusan seorang lagi pemuda, Che Mohd Ruzima berkata, pihak pendakwaan menggunakan keterangan dua saksi, yang menyatakan telah melihat dua suspek memanjat pagar tahfiz berkenaan.

Malangnya beliau berkata, saksi-saksi itu gagal membuat pengecaman ke atas orang yang dikatakan memanjat pagar bersama dengan PKK1.

Sekiranya pendakwaan ingin membuktikan PKK2 ialah individu kedua memanjat pagar, beliau berkata, pihak pendakwaan perlu menutup semua ruang keraguan yang timbul.

Katanya, mereka telah gagal membuktikan elemen ketiga dan keempat bagi semua pertuduhan terhadap PKK2 maka tiada sebab untuk mahkamah rayuan mengubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi.

“Keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan PKK2 daripada semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan adalah tepat dari segi fakta dan undang-undang.

“Oleh itu, rayuan pendakwaan adalah tidak bermerit dan seharusnya ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan kedua-dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan PKK1 membela diri manakala melepas dan membebaskan PKK2 tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Pada 17 Ogos 2020, hakim sama mendapati PKK1 bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak.

Mahkamah tinggi mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah 18 tahun, namun pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.