Peserta ladang kontrak nanas MD2 jana pendapatan lumayan

Sheikh Umar (depan, tiga dari kanan) bersama sebahagian peserta ladang kontrak bagi penanaman nanas MD2.
Sheikh Umar (depan, tiga dari kanan) bersama sebahagian peserta ladang kontrak bagi penanaman nanas MD2.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Konsep ‘ladang kontrak’ bagi penanaman nanas MD2 yang sedang diikuti seramai 20 belia di Pekoti Timur, Rompin dilihat bakal membuka peluang kepada golongan belia bagi menjana pendapatan lumayan pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali, kesemua peserta program berkenaan akan menerima latihan secara terus mengenai penanaman nanas MD2 di tanah seluas 250 ekar selain menerima pinjaman lebih RM200,000 untuk setiap pusingan tanaman.

“Kesemua peserta ladang kontrak nanas MD2 Aqina ini sudah pun mengikuti program selama dua tahun dan diberikan tanah seluas dua hektar seorang untuk diusahakan bagi tempoh enam tahun.

“Oleh itu, peserta menerima latihan secara terus yang bersifat ‘real on ground training’ daripada pihak Aqina dan melalui sendiri pengalaman sebenar menguruskan sulur atau benih, mengendalikan proses pembajaan, merawat tanah dan sebagainya.

“Hasilnya, nanas MD2 berkualiti tinggi berjaya dikeluarkan,” katanya pada majlis flag-off Nanas MD2 Malaysia ke Jepun, baru-baru ini.

Tambah beliau, selain menerima latihan terus berhubung penanaman nanas, kesemua peserta juga diberikan bimbingan mengenai pengurusan kewangan.

"Kesemua peserta juga berjaya menyelesaikan beberapa tunggakan hutang, seperti hutang Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN), pinjaman kenderaan dan lain-lain hasil daripada pendapatan mencecah RM4,000 sebulan," ujarnya.

Sementara itu, Sheikh Umar berkata, pendekatan konsep berkenaan bukan sahaja dapat memberikan peluang untuk golongan belia menjana pendapatan lumayan, tetapi turut mempersiapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua ilmu serta kemahiran berkenaan sangat diperlukan dalam usaha meningkatkan kapasiti diri dalam berdepan situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Bagi saya, inilah konsep kerjasama awam, swasta yang mesti diterapkan dalam sektor pertanian di Malaysia.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, saya akan memastikan kerjasama erat dengan pihak swasta dapat dipergiatkan lagi agar limpahan ekonomi industri nanas ini dapat dinikmati bersama oleh segenap lapisan rakyat.

“Benar, entiti bisnes boleh membuat keuntungan, tetapi ia mestilah berkongsi tanggungjawab bagi membantu menambahkan juga pendapatan rakyat,” katanya.