[VIDEO] Suri rumah jana pendapatan hasil tanaman bunga telang

A
A
A

BESUT - Kemalangan menimpa suaminya telah mengubah kehidupan seorang suri rumah yang kini bergelar pengusaha bunga telang untuk dibekalkan ke sebuah restoran selain memenuhi permintaan pasaran tempatan termasuk untuk proses kajian.

Nor Hasmidar Hamzah, 36 berkata, tanaman yang diusahakan di kebun belakang rumahnya di Kampung Gong Penaga di sini bermula pada Mei lalu dengan dibantu suaminya, Tengku Mazhad Tengku Mahmud, 36.

"Selepas suami kemalangan dia ada banyak masa kerana hanya duduk di rumah. Dari situ dia mula menanam biji benih bunga telang yang diperoleh dari seorang pemilik restoran.

"Bermula dengan tanam dua baris pokok bunga telang sekarang dah ada lima baris dan kami berhasrat untuk luaskan lagi kawasan untuk tanaman bunga ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Nor Hasmidar menunjukkan bunga telang segar yang dipetik dari kebun di belakang rumahnya di Kampung Gong Penaga di Besut.
Nor Hasmidar menunjukkan bunga telang segar yang dipetik dari kebun di belakang rumahnya di Kampung Gong Penaga di Besut.

Menurut Nor Hasmidar, permintaan tinggi terhadap sumber pewarna semula jadi itu menyebabkan dia kini memberikan fokus sepenuhnya terhadap penanaman bunga telang sehingga mampu menjadi pembekal benih, bunga segar dan bunga siap proses dalam bentuk bunga kering untuk pasaran tempatan di seluruh negara.

"Secara purata setiap minggu paling sedikit pun kita dapat kumpul sebanyak 300 gram bunga telang. Paling banyak dikumpul dalam dalam 500 gram. Kuantiti tu bagi yang telah siap dikeringkan.

"Bagi bunga segar pula kita dapat kumpul lebih 5 kilogram bunga yang dipetik dalam tempoh sama," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nor Hasmidar, setiap 100 gram bunga telang atau nama saintifiknya clitoria ternatea yang siap dikeringkan dijual pada harga RM20.

Bunga telang segar yang dipetik akan dikeringkan dahulu bagi memastikan ia tahan lama sebelum dibungkus dan dipasarkan.
Bunga telang segar yang dipetik akan dikeringkan dahulu bagi memastikan ia tahan lama sebelum dibungkus dan dipasarkan.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, bunga telang yang sinonim sebagai bahan pewarna nasi kerabu mempunyai pelbagai khasiat antaranya bersifat antioksidan dan anti radang serta dipercayai sebagai penawar kepada beberapa penyakit sehingga ramai yang menjadikannya sebagai minuman harian.

"Setakat ini 80 peratus pelanggan memberikan maklum balas positif terhadap bunga telang ini. Ada yang memberitahu proses pencernaan semakin baik, kulit dan rambut semakin cantik dan halus.

"Ada juga yang mengakui bacaan darah tinggi, kencing manis, bisul dan beberapa penyakit lain berkurangan setelah mereka amalkan minum air bunga telang ini secara berterusan," katanya.

Nor Hasmidar yang mengusahakan tanaman itu bersama suami berkata, proses tanaman tumbuhan itu dilakukan secara organik dan tidak menggunakan sebarang racun haiwan perosak atau pengawet supaya ia tahan lama.

"Kami menggunakan cahaya matahari sepenuhnya untuk proses mengeringkan bunga telang setakat ini kerana ia adalah cara terbaik untuk menjaga kualiti dan khasiat semula jadi bunga ini.

"Buat masa ini juga kami beri tumpuan untuk menyediakan bunga telang kering yang ditempah oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi tujuan penyelidikan.

Bercerita mengenai cabaran ketika musim tengkujuh, katanya proses pengeringan bunga telang mengambil masa yang lama kerana hanya bergantung kepada cahaya matahari.

"Kalau panas terik kita ambil masa tiga hingga empat hari sahaja untuk bunga ini benar-benar kering. Kalau tengkujuh mungkin ambil masa seminggu hingga tiga minggu.

"Banyak cabaran pada musim tengkujuh, kalau musim hujan kita perlu petik bunga segar dan terpaksa simpan dalam peti sejuk dulu, bila ada matahari baru kita jemur sehinggalah bunga itu betul-betul kering," katanya.

Nor Hasmidar memberitahu, dia bercadang untuk membeli mesin pengering bagi memudahkan lagi proses penghasilan bunga telang kering sekiranya musim hujan.

"Saya berhasrat mahu memperluaskan kawasan tanaman ini secara berperingkat, membeli mesin pengering untuk kapasiti yang besar dan mempromosikan bunga telang sebagai sumber rezeki terutama kepada golongan wanita dan suri rumah untuk mengisi masa lapang mereka," katanya.