Kerajaan perlu wujudkan agensi kawal selia nadir bumi

Hisamudin
Hisamudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hisamudin Yahaya mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah badan bagi mengawal selia semua urusan berkaitan nadir bumi negara.

Beliau berkata, dengan adanya penubuhan agensi sedemikian, kerajaan boleh menyelaras penjualan keluar nadir bumi contohnya seperti Petronas kawal selia penjualan produk petroleum walaupun sumbernya terletak di kawasan negeri-negeri.

“Cadangan penubuhan agensi ini juga akan dapat mengelakkan pergaduhan antara negeri-negeri dengan kerajaan Persekutuan dan seterusnya mengelak daripada eksploitasi harga, eksport haram dan kehilangan sumber nadir bumi ini sekali gus menjamin pulangan segera dan keuntungan maksimum kepada negara,” katanya

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Jelasnya, hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), unsur nadir bumi ini kebanyakannya terletak di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

“Ini bermaksud sumber-sumber ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” kata Hisamudin.

Beliau dalam pada itu mahukan penjelasan daripada Perdana Menteri berdasarkan kenyataan pada 12 September yang lalu bahawa nadir bumi negara adalah dilarang dieksport keluar negara.

“Kita juga sedia maklum bahawa satu-satunya kilang yang memproses nadir bumi terbesar di Malaysia adalah Lynas, saya ingin bertanya, adakah strategi kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya Lynas ataupun kita akan membangunkan lagi kilang-kilang lain seperti Lynas?” katanya

Artikel Berkaitan:

Elemen nadir bumi iaitu sekumpulan 17 unsur kimia yang mempunyai banyak ciri yang serupa dan sering ditemui bersama dalam deposit geologi.

Bahan ini digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti elektronik, magnet, pemangkin, bateri dan lain-lain. Sumber baru ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara.