UMNO Wilayah Persekutuan desak SPRM siasat Radzi Jidin

Ghulam hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membuat aduan berhubung mesej tular yang dikaitkan dengan Mohd Radzi.
Ghulam hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membuat aduan berhubung mesej tular yang dikaitkan dengan Mohd Radzi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak agar menyiasat bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung dua mesej berasingan yang tular.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya hadir ke SPRM bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Putrajaya tersebut dikatakan terlibat dalam isu pemberian kontrak penyelenggaran sekolah serta pencetakan buku J-Qaf.

Beliau mendakwa, menerusi mesej pertama yang tular, Mohd Radzi dikatakan memperoleh dana politik daripada seorang individu berpangkat Datuk yang membolot kesemua projek penyelenggaraan sekolah.

"Individu ini dikatakan akan ke semua sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tanpa melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan SPRM di sini pada Khamis.

Ghulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, di dalam mesej kedua pula Mohd Radzi didakwa bersetuju meluluskan projek rundingan terus pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah kepada seorang individu bergelar Tengku.

Dakwa beliau, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia terhadap sebuah syarikat yang dinamakan tersebut juga wujud.

"Hari ini kita hadir untuk membuat aduan rasmi kepada SPRM agar menyiasat mesej tular ini," kata Ghulam.

Artikel Berkaitan: