Selenggara jalan, jambatan di Pensiangan akan segera dilaksanakan

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Khamis.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Khamis.
A
A
A

PUTATAN - Kerja penyelenggaraan di jalan Pensiangan menuju ke Kampung Salinatan di Nabawan yang terjejas akibat tanah runtuh pada 5 September lalu akan dimulakan secepat mungkin.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja kecemasan bagi membaiki jalan serta jambatan telah pun diluluskan.

"Saya difahamkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, kerja-kerja kecemasan telah diluluskan dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Ia akan dimulakan secepat mungkin kerana dalam peruntukan kecemasan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemajuan pelaksanaan penyelenggaraan jalan dan pembinaan jambatan baharu di sepanjang Jalan Panabaan-Pensiangan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan itu.

Beliau turut memaklumkan kerja penyelenggaraan sementara serta merta dilakukan supaya penduduk dapat menggunakan jalan utama tersebut.

Bagaimanapun, setakat Rabu, penduduk di Kampung Salinatan memaklumkan jalan utama masih belum dapat ditembusi dan kini hanya bergantung kepada laluan sungai untuk ke Pensiangan bagi mendapatkan bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

Kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan susulan keadaan cuaca yang kurang baik termasuk hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dan dibimbangi tanah runtuh berulang.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan lebih 300 penduduk mendiami empat perkampungan di Pensiangan, terputus bekalan makanan hampir seminggu berikutan laluan utama ke kawasan itu tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh.

Bagaimanapun, usaha sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) daripada Forces of Love (FOL) dan pasukan bomba meredah laluan yang mencabar selama 18 jam tempoh perjalanan berjaya menyalurkan sebanyak 2.3 tan kepada penduduk yang terlibat.