Nahas 14 kenderaan: Alih laluan konvoi polis pengiring ikut SOP

Allaudeen (dua dari kiri) pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua pada Khamis.
Allaudeen (dua dari kiri) pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan pengalihan laluan semasa konvoi beberapa buah motosikal polis pengiring sebelum berlakunya kemalangan melibatkan 14 kenderaan yang meragut dua nyawa di Putrajaya pada Rabu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kemalangan itu seharusnya tidak berlaku kerana laluan di Kilometer 5.7 dari IOI City Mall Putrajaya menghala ke Presint 12 tidak sibuk dan teratur meskipun polis ada melakukan alihan lalu lintas.

"Apabila melihat video rakaman berkenaan nahas itu, tindakan pengalihan laluan yang dibuat oleh pihak polis adalah mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Hampir semua kenderaan telah berhenti tetapi pemandu treler itu terus bergerak.

"Oleh sebab itu, pihak polis melakukan siasatan untuk melihat adakah berlaku kecuaian atau masalah teknikal," katanya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua yang bermula 15 September lalu.

Dalam kejadian pada Rabu itu, sebuah treler membawa muatan batu konkrit telah merempuh 13 buah kenderaan iaitu sebuah lori, tujuh kenderaan dan selebihnya motosikal termasuk sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dua penunggang motosikal terkorban dalam kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, pihak polis membuka satu kertas siasatan berhubung kes kemalangan tersebut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu treler telah ditahan dan akan direman pada Khamis untuk membantu siasatan lanjut.

"Suspek dijangka direman selama tujuh hari," katanya.

Ditanya adakah kemalangan itu disebabkan masalah teknikal, beliau berkata, pihaknya perly menunggu laporan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom.

"Polis percaya kemungkinan ada kecuaian di pihak pemandu, namun kita perlu pastikan siasatan terperinci dijalankan sebelum kita dapat membuat satu kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian.

"Sebab itu, saya suka ingatkan semua pemandu semua perlu bertanggungjawab semasa berada di atas jalan raya," ujarnya.