Kembalikan prestij Pestabola Merdeka

Pekan (gambar kecil) mencadangkan FAM menukar pendekatan agar dapat menarik lebih banyak pasukan ternama menyertai Pestabola Merdeka.
Pekan (gambar kecil) mencadangkan FAM menukar pendekatan agar dapat menarik lebih banyak pasukan ternama menyertai Pestabola Merdeka.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) harus cuba sedaya upaya untuk kembali meningkatkan kegemilangan Pestabola Merdeka agar tidak menjadi kejohanan 'syok sendiri'.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu menukar pendekatan agar dapat menarik lebih banyak pasukan ternama, sekali gus mengembalikan prestij kejohanan tersebut.

Menurutnya, kejohanan lain yang lebih gah menyebabkan Pestabola Merdeka akan terus terpinggir jika tiada pendekatan lebih menarik ditawarkan untuk menambat hati pasukan yang menghuni ranking lebih baik.

“Sekarang mungkin pasukan lain nampak kita buat kejohanan ini (Pestabola Merdeka) untuk memenuhkan kalendar dan menyiapkan pasukan untuk pertandingan yang akan kita sertai sahaja.

“Jadikan kejohanan ini bukan untuk pasukan kebangsaan semata-mata, sebaliknya ia juga dapat memberikan kelebihan kepada pasukan yang menyertainya dengan pelbagai tawaran menarik.

“Jadi FAM harus memikirkan setiap pasukan yang datang mengharapkan kejohanan Pestabola Merdeka ini sangat kompetitif bagi mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pestabola Merdeka menjadi kejohanan bola sepak tertua di Asia sejak mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1957 dan tidak pernah gagal diadakan sehingga 1988 selain dapat menarik banyak pasukan ternama.

Bagaimanapun, keistimewaan kejohanan tersebut semakin pudar dan tidak dianjurkan setiap tahun dengan kali terakhir menyaksikan ia berlangsung pada 2013.

Artikel Berkaitan:

Selepas 10 tahun, Pestabola Merdeka kembali dianjurkan dan akan disertai Harimau Malaya di ranking ke-136 dunia, India (99), Palestin (96) dan Tajikistan (110) melibatkan perlawanan kalah mati di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Oktober sehingga 17 Oktober.

Dalam pada itu, Pekan berkata, ranking pasukan negara juga menjadi antara faktor sampingan untuk menarik pasukan hebat menyertai kejohanan Pestabola Merdeka.

“Mungkin pasukan lain berasakan ranking skuad kebangsaan Harimau Malaya tidak cukup baik. Itu memang tidak dinafikan dan untuk naik ranking sudah tentu akan makan masa.

“Sebab itu saya mengharapkan agar FAM dapat mencari cara agar pasukan yang datang bukan hanya melihat kepada ranking kita sahaja, tetapi juga kepada kelebihan yang ditawarkan.

“Mungkin kita boleh melihat waktu penganjuran yang sesuai tidak bertindih dengan kejohanan lain, hadiah kejohanan yang lebih menarik atau faktor kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk menarik pasukan hebat beraksi,” jelasnya.