Projek ECRL: Tanah penduduk Taman Sungai Sireh belum diambil - Anthony Loke

Anthony Loke - Foto/Jabatan Penerangan
Anthony Loke - Foto/Jabatan Penerangan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan memaklumkan tiada sebarang pengambilan tanah dibuat setakat ini melibatkan kawasan Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang bagi tujuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang pengambilan tanah memerlukan proses tertentu, dan jika ia telah dibuat, sudah tentu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan mengeluarkan notis pemakluman rasmi kepada penduduk yang terlibat.

Selain itu, beliau menegaskan pampasan yang setimpal akan diberikan bagi setiap pengambilan tanah penduduk.

"Kalau belum dimaklumkan, mungkin tapak tanah itu tidak diambil. Jadi tak payah (dengar) apa-apa khabar angin.

"Kalau betul ia diambil, mereka akan dimaklumkan... jadi tak perlu bimbang. Saya dah sentiasa mengingatkan pihak MRL dan pihak MRL, sebuah agensi yang telahpun bertahun-tahun (mengendalikan projek) dan bukannya syarikat baharu," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) ketika penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Dr Halimah, sekurang-kurangnya 90 rumah Taman Sungai Sireh didakwa akan dirobohkan dan ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.

Beliau turut difahamkan, aduan telah dibuat dan penduduk mendakwa belum menerima sebarang pemakluman secara bersemuka oleh pihak berkaitan berhubung isu pengambilan tanah bagi projek ECRL melibatkan jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mohon bertemu dengan pihak berwajib untuk pastikan rumah mereka yang kena (ambil tanah), (adakah) perlu ke mereka pindah, ada ke jajaran baharu atau berapa pampasan diberikan sekiranya tempat mereka tidak dapat dielakkan?," katanya.

Menjawab lanjut, Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, sekiranya benar tanah penduduk di kawasan berkenaan telah diambil, kementerian akan melakukan semakan dan memastikan MRL bertemu dengan mereka yang terkesan.

"Pampasan sudah tentu setimpal dengan penilaian.

"Prinsip ganti rugi yang digunakan sepanjang jajaran adalah tidak pilih kasih dan adil. Semua pampasan tanah sudah tentu berdasarkan penilaian yang dibuat oleh juru penilaian (tanah)," tambah Anthony Loke.

Pada 29 Julai lalu, MRL memaklumkan proses pengambilan tanah di sekitar Taman Sungai Sireh, hanya akan bermula setelah semua proses dan prosedur undang-undang yang selaras dengan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960, dilaksanakan.

Selain itu, proses pengambilan tanah di kawasan tersebut, juga akan mengambil kira pelbagai aspek dalam memastikan prosedur yang adil diberikan kepada semua pihak terlibat. - Awani