Kes lama rupanya...

Tular satu video memaparkan pergelutan antara penguat kuasa MDS dengan penjaja di Pekan Semporna.
Tular satu video memaparkan pergelutan antara penguat kuasa MDS dengan penjaja di Pekan Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Polis Semporna tampil menjelaskan video tular di media sosial yang memaparkan pergelutan antara penguat kuasa Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan penjaja adalah kes lama berlaku tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, insiden itu berlaku pada Mac tahun lalu di Pekan Semporna.

Menurutnya, hasil semakan daripada rakaman video yang tular itu menunjukkan siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Ini kes lama, kejadian berlaku pada 23 Mac tahun lalu kira-kira jam 9.45 pagi bertempat di Lorong Chan Chuan Kee ketika pengadu sedang menjalankan tugas pembersihan kaki lima.

"Pengadu bersama pasukan penguat kuasa MDS merampas barangan jualan penjaja di kaki lima tersebut dan semasa rampasan dibuat, berlaku provokasi daripada beberapa penjaja.

"Pengadu membuat teguran tetapi tidak diendahkan dan laporan untuk makluman serta rujukan pihak MDS telahpun dibuat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, susulan kejadian itu tangkapan telah dibuat terhadap dua lelaki yang terlibat dan kertas siasatan telahpun dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.

"Arahan pertuduhan di bawah Seksyen 8(1)(c) ) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) terhadap kedua-dua tangkapan.

Artikel Berkaitan:

"Pada 11 Mei tahun lalu pertuduhan telah didaftarkan di Mahkamah Majistret Semporna bagi kedua-dua suspek di bawah seksyen 8(1)(c) OKKNS namun keputusan kes ialah melepas tanpa membebaskan (DNAA) memandangkan kedua suspek tidak hadir dan sapina gagal disempurnakan," jelasnya.

Sebelum itu, sebuah video berdurasi satu minit 11 saat tular di media sosial memaparkan penguat kuasa MDS dan individu dipercayai penjaja bergelut di sebuah lokasi dipercayai di Sabah.