Netizen setuju GST wajar dilaksanakan semula

Hasil undian di platform X mendapati sebanyak 60.1 peratus memilih wajar manakala hampir 40 peratus lagi mengatakan sebaliknya.
Hasil undian di platform X mendapati sebanyak 60.1 peratus memilih wajar manakala hampir 40 peratus lagi mengatakan sebaliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di media sosial bersetuju sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan semula.

Berdasarkan undian di platform X Sinar Harian @SinarOnline bertajuk ‘wajarkah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan?’, sebanyak 60.1 peratus daripada 1,601 responden memilih wajar manakala hampir 40 peratus lagi mengatakan sebaliknya.

Undian itu dibuat susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 11 September lalu berkata, kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk memperluas asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.

Menurutnya, kerajaan bersikap terbuka dan akan melalui apa sahaja cara menerusi asas hasil lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal atau sebarang bentuk cukai langsung atau tidak langsung.

Sementara itu, di ruangan komen, pemilik akaun bernama @Wan berkata, pelaksanaan GST sememangnya baik untuk pertumbuhan ekonomi tetapi ia perlu lebih adil supaya rakyat memperoleh faedah daripada cukai tersebut.

“Pelaksanaannya wajar kalau cukai dikembalikan kepada rakyat supaya kita mendapat manfaat, namun jika terdapat pihak yang mengaut hasil ini sehingga tidak memberi pulangan kepada masyarakat memang kita tidak setuju,” katanya.

Bagi @Putera Semat, pelaksanaan tersebut wajar bagi memperkukuh ekonomi, namun kerana kelemahan penguatkuasaan menyebabkan ramai peniaga menaikkan harga sehingga membebankan orang ramai.

“Saya setuju kalau nak laksanakan semula GST, tetapi kena pastikan penguatkuasaan yang betul supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan kalau boleh sediakan rebat kepada peniaga dan pengguna supaya kedua-dua pihak tidak terbeban,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut @Farid Mohd, pelaksanaan tersebut tidak wajar dan kurang sesuai dilakukan kerana tekanan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan perlu tunggu sehingga ekonomi stabil kerana kalau dilaksanakan juga akan menambahkan tekanan inflasi sedia ada,” katanya.