Pulau Pinang sokong usaha kerajaan pusat laksana agenda pembangunan

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

KEPALA BATAS - Pulau Pinang akan terus teguh menyokong usaha kerajaan Pusat merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan, selaras aspirasi Malaysia Madani, wadah Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini telah menambah RM15 bilion ke dalam peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat, menjamin bekalan air bersih dan sebagainya.

"Siling perbelanjaan RMK12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025 yang penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk di negeri ini, memandangkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak RM112.1 bilion.

"Lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tertinggi yang mencatatkan peningkatan sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak 15.9 peratus, berbanding 12.4 peratus pada tahun sebelumnya," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat Pulau Pinang di Dewan Millenium pada Sabtu.

Majlis sambutan itu, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor, berlangsung sederhana namun meriah dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum.

Kon Yeow berkata, dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dan kepelbagaian dalam negara, Pulau Pinang juga tidak ketinggalan untuk meraikan hari bersejarah iaitu Hari Malaysia di peringkat negeri.

"Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, selain menghargai ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda negara, ia juga merupakan iltizam negara untuk membentuk warga Malaysia yang bersatu padu, saling hormat-menghormati serta meraikan kepelbagaian.

"Ia dipacu oleh Kerangka Malaysia Madani yang menjadi pemangkin kepada masyarakat yang maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dah kearifan tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keamanan dan perpaduan yang dikecapi kini adalah hasil usaha serta kerja keras para pejuang kemerdekaan dan segenap masyarakat di negeri ini dengan tekad yang satu, iaitu memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negeri ini sentiasa terpelihara. - Bernama