188 kes jenayah seksual libat murid, pelajar sekolah di Kelantan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan seramai 188 pelajar menjadi mangsa jenayah seksual di negeri Cik Siti Wan Kembang dari 2021 hingga tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, statistik menunjukkan seramai 153 kes melibatkan pelajar sekolah menengah, manakala sekolah rendah 35 kes dengan mangsa paling muda direkodkan berusia sembilan tahun.

"Sebanyak 254 kes pula dicatatkan bagi kesalahan rogol bawah umur dari tahun 2021 hingga September 2023," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati modus operandi adalah melalui perkenalan di media sosial seperti TikTok, Instagram, diperkenalkan oleh rakan dan sebagainya.

Ujarnya, kes terbabit berpunca daripada mangsa yang masih terlalu muda dan tidak menyedari risiko yang akan dihadapi kesan daripada perkenalan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya terpanggil untuk sama-sama menangani isu terbabit termasuk menempatkan pegawai perhubungan sekolah daripada kalangan pegawai dan anggota polis dalam usaha mencegah pelakuan jenayah, selain Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC).

"Selain dadah, jenayah seksual merupakan antara masalah yang perlu ditangani dalam kalangan pelajar kerana ia agak ketara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!