Peningkatan pelaburan RM40 bilion di Tanjung Malim

Saarani (hadapan, tiga dari kiri) menyerahkan kontrak pekerjaan kepada belia yang berjaya ketika Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di Pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
Saarani (hadapan, tiga dari kiri) menyerahkan kontrak pekerjaan kepada belia yang berjaya ketika Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di Pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak memperoleh peningkatan pelaburan bagi Lembah Automatif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City di sini kepada RM40 bilion berbanding RM32 bilion sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan tersebut melibatkan pemindahan operasi Proton dari Shah Alam ke Tanjung Malim.

Menurutnya, pemindahan tersebut turut membawa bersama vendor-vendor Proton sedia ada dan yang baharu.

"Bila Proton dan Geely mengatakan mereka akan mengeluarkan EV (kenderaan elektrik), jadi vendor EV akan bertambah di Tanjung Malim sebab ini teknologi baru.

"Kerana itu pelaburan itu bertambah. Tempoh pelaburan ini sehingga tahun 2027," katanya kepada pemberita ketika menyempurnakan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan memaklumkan jumlah pelaburan itu akan menyediakan lebih 160,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya, peluang pekerjaan itu disediakan khusus kepada anak muda di negeri supaya tidak tenaga mahir keluar ke negeri lain.

Malah katanya, bukan sahaja di Tanjung Malim, beberapa projek pembangunan dan pelaburan di seluruh Perak turut menyediakan peluang yang sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LUMIC) akan dilaksanakan di Manjung melibatkan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun dengan sasaran 51,000 peluang pekerjaan disediakan.

"Di Ipoh, saya telah melancarkan pecah tanah ‘Ipoh Raya Integrated Park’, iaitu projek pembangunan bersepadu sehenti enam fasa bernilai RM5 bilion yang bakal menjadi satu lagi hab yang penting buat pelabur dan syarikat multinasional.

"Di Perak Tengah pelaburan XP Power, sebuah syarikat konglomerat Elektrik & Elektronik (E&E) terkemuka dunia yang membuka kilang pertamanya di Malaysia di Seri Iskandar. Dijangka siap dua tahun lagi dengan sasaran mewujudkan 1,200-1,500 peluang pekerjaan," katanya.

Jelas beliau, di Utara Perak, khususnya di Bagan Serai dan Parit Buntar yang sempadan negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri sedang giat meneroka peluang-peluang baharu untuk membangunkan kawasan berkenaan sebagai pusat industri baharu.

Dalam pada itu, mengenai KAMU, Saarani berkata, kerajaan negeri menyambut baik program seumpama itu apabila menyediakan banyak peluang kepada anak muda.