6,519 saman hari kedua Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya

KUALA LUMPUR - Sebanyak 6,519 saman dikeluarkan pada hari kedua pelaksanaan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan tertinggi direkodkan ialah halangan lalu lintas sebanyak 4,819.
"Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (247), tiada lesen memandu (194), nombor pendaftaran (76), tidak patuh lampu isyarat merah (53) dan lain-lain (1,213)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sarifudin berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut mengeluarkan 85 saman.