Lelaki maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang di depan kedai

TELUK INTAN - Seorang lelaki maut selepas dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai di Taman Banjar Jaya di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 3.53 petang itu, mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan akibat kecederaan yang dialami.
"Siasatan awal mendapati mangsa diserang tiga lelaki menggunakan senjata tajam jenis parang.
"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk pergerakan individu atau kenderaan mencurigakan di sekitar lokasi, supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Hilir Perak menerusi talian 05-629 9222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

