142,125 saman trafik direkod di KL

Sarifudin (tengah) turut menyertai Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Sarifudin (tengah) turut menyertai Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan hampir satu bulan sejak 3 Julai lalu merekodkan 142,125 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, statistik itu direkodkan setakat Khamis (27 Julai) hasil pelaksanaan 536 operasi.

Menurutnya, tiga saman tertinggi ialah halangan lalu lintas (115,906), halangan pejalan kaki (4,879) dan tiada lesen warga tempatan (4,309).

"JSPT Kuala Lumpur turut bertindak menyita 181 buah kenderaan membabitkan 172 motosikal, kereta (8) dan satu lori.

"Selain sekatan jalan raya, operasi ini turut memfokuskan parkir haram dan samseng jalanan," katanya ketika ditemui semasa Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya di Bangsar di sini, pada Jumaat.

Selain itu, Sarifudin berkata, sebanyak 275 tangkapan telah dibuat sepanjang operasi termasuklah membabitkan samseng jalanan, parkir haram, kes dadah, ganggu penjawat awam jalankan tugas, kes imigresen dan lain-lain.

Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas mengenai kegiatan parkir haram, beliau mendedahkan, individu terlibat yang mendakwa sebagai penjaga parkir akan mendapatkan pelanggan dengan bayaran sekitar RM1 hingga RM20.

"Individu ini mendakwa kenderaan diletakkan di tempat khas, sebaliknya diparkir di laluan kenderaan yang mengganggu jalan raya," ujarnya.

Tambahnya, polis tidak membenarkan mana-mana individu untuk mendapatkan wang bagi khidmat parkir haram dan sekiranya dikesan, tangkapan akan dibuat.

Jelasnya, operasi hasil inisiatif Ketua Polis Kuala Lumpur itu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat menghormati undang-undang jalan raya.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Luqman Darus berkata, dia berpuas hati dan berharap operasi sebegini dipertingkat terutama bagi mengekang 'mat rempit'.

"Saya rasa perkara yang normal untuk pihak penguat kuasa jalankan operasi dan harap dijalankan dengan lebih kerap terutama di sekitar pusat bandar kerana banyak aktiviti merempit di waktu tengah malam," katanya.