Melaka galak anak muda sertai Volunteer TMM2024

Ab Rauf (duduk, tengah) bergambar bersama para peserta selepas melancarkan program Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Banda Hilir di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
Ab Rauf (duduk, tengah) bergambar bersama para peserta selepas melancarkan program Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Banda Hilir di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri mengalakkan anggota komuniti terutamanya anak muda mendaftar sebagai sukarelawan dalam program Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sekali gus berperanan sebagai duta kecil mempromosi Melaka kepada pelancong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sehingga kini terdapat hampir 2,000 peserta yang mendaftar memohon menjadi sukarelawan program tersebut termasuk 300 orang yang telah diberi latihan.

"Penyertaan ini bagi membolehkan mereka bersama-sama menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sektor pelancongan yang akan membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat kepada pengunjung.

"Mereka ini juga akan dilatih dan dibekalkan maklumat dan pengetahuan mengenai sejarah dan lokasi pelancongan, penginapan atau tempat makan menarik kepada pengunjung yang datang melancong," katanya kepada pemberita di Banda Hilir di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Volunteer TMM2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sukarelawan tersebut juga akan ditugaskan di tempat tumpuan pelancong antaranya Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari selain 21 muzium di seluruh negeri.

Katanya, bilangan sukarelawan akan ditambah dari semasa ke semasa selain kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi insentif khas kepada mereka.

"Sepanjang TMM2024 nanti terdapat 70 program merangkumi 32 acara pelancongan utama telah dirancang dan dengan peranan sukarelawan itu juga dilihat amat penting dalam membantu mempromosi industri pelancongan di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Antara acara yang disusun sempena TMM2024 ialah Pesta Gendang Nusantara, Pengkisahan Detik Kemerdekaan, Pertandingan Memancing, Kejohanan Muaythai Antarabangsa Melaka, Festival Sungai Melaka, Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka International Regatta," katanya. - Bernama