Gerakan alu-alukan Muda sertai PN

Dominic (kiri) memberi bendera kepada seorang kanak-kanak sempena Hari Malaysia di Pasar Awam Sungai Ara pada Sabtu.
Dominic (kiri) memberi bendera kepada seorang kanak-kanak sempena Hari Malaysia di Pasar Awam Sungai Ara pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan membawa usul kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) berhubung hasrat mereka untuk membawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai gabungan tersebut.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, idea itu tercetus selepas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan parti tersebut menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, selain faktor itu, pendirian Muda melawan rasuah dilihat seiring dengan prinsip PN yang dibawa selama ini.

"Memang bagi Gerakan, kita mengalu-alukan Muda untuk menyertai PN tetapi PN ada prosedur. Apa-apa yang kita mahu bawa atau usulkan, perlu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan.

"Gerakan akan membawa isu ini kepada mesyuarat yang akan dibuat dalam bulan ini untuk dibincangkan kerana kita berpendapat, pendirian Muda terhadap melawan rasuah adalah selari dengan apa yang diperjuangkan PN," katanya pada sidang akhbar di Pasar Awam Sungai Ara pada Sabtu.

Dominic berkata, beliau ada berjumpa dengan Syed Saddiq dan menyatakan hasratnya itu namun ia dilakukan secara tidak formal.

Dominic menyantuni pembeli di Pasar Awam Sungai Ara sempena Hari Malaysia pada Sabtu.
Dominic menyantuni pembeli di Pasar Awam Sungai Ara sempena Hari Malaysia pada Sabtu.

"Saya ada jumpa beliau (Syed Saddiq) di Parlimen, (saya) ada menyatakan hasrat saya itu namun secara tidak rasmi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau hanya senyum tetapi bagi saya, itu satu respons yang positif," ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya Muda menyertai PN, ia akan memperkukuhkan lagi perjuangan gabungan itu untuk membasmi rasuah negara terutamanya dalam dunia politik.

"Saya nampak, Muda sangat berpegang teguh dengan pendiriannya terhadap lawan rasuah kerana mereka sanggup berada di blok pembangkang selepas tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.

"Oleh itu, objektif Muda dan PN adalah sama iaitu melawan rasuah. Jadi apa salahnya jika kita mengalu-alukan Muda untuk bersama-sama dengan kita," katanya.

Minggu lalu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, antara sebab utama tindakan itu adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhir-akhir dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Dominic berkata, Syed Saddiq tidak perlu melayan gesaan beberapa pihak yang mahu beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen.

"Saya harap beliau tidak ambil peduli dengan gesaan-gesaan itu kerana yang perlu meletakkan jawatan adalah menteri Kerajaan Perpaduan, bukannya Syed Saddiq. Ini kerana, mereka cakap tidak betul, dahulu kata lawan rasuah tetapi kini bersama-sama perasuah pula.

"Lebih mengecewakan apabila kerajaan yang dipimpin Anwar sendiri melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dahulu kata lawan UMNO, sekarang boleh bersama-sama.

"Ini berbeza dengan Syed Saddiq, beliau dan Muda dari dahulu tidak setuju dengan perasuah dan kini, pendirian mereka masih sama iaitu tidak setuju apabila Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, dilepaskan tanpa dibebaskan terhadap 47 pertuduhan rasuah," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi bagi lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.