Jika Najib bebas, keyakinan rakyat musnah - Bersih

Bersih menggesa kerajaan melaksanakan moratorium terhadap permohonan melepaskan tanpa bebas (DNNA) terhadap kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik. (Gambar kecil: Najib)
Bersih menggesa kerajaan melaksanakan moratorium terhadap permohonan melepaskan tanpa bebas (DNNA) terhadap kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik. (Gambar kecil: Najib)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melaksanakan moratorium terhadap permohonan melepaskan tanpa bebas (DNNA) terhadap kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik sepanjang proses pemisahan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, pemisahan tersebut perlu disiapkan dalam tempoh setahun, dan tidak boleh ditangguhkan atas alasan teknikal atau kewangan.

Justeru, jaminan secara terbuka perlu diberikan kerana hakikatnya kredibiliti Jabatan Peguam Negara terhakis teruk dengan siri keputusan untuk memohon DNAA buat ahli politik dan pegawai kerajaan.

"Kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan lain-lain.

“Biarlah pihak kehakiman menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak tanpa campur tangan Peguam Negara atau pimpinan politik.

"Sekiranya Najib dipenjarakan tahun lepas kerana beliau sudah tidak lagi berkuasa namun berjalan bebas esok kerana parti beliau berkuasa semula, maka mesej kepada rakyat Malaysia adalah sangat jelas: 'kamu tidak bersalah sehinggalah kamu hilang kuasa, dan kamu menjadi suci semula selepas kamu berkuasa semula'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, sekiranya hal yang dikhuatiri itu berlaku, keyakinan rakyat akan musnah dan mengakibatkan kesinisan politik melampau.

"Akibatnya adalah maha hebat, mana-mana penjenayah yang ingin bebaskan diri hanya perlu memenangi pilihan raya umum dan kemudiannya tukar sahaja Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia sebegini, di mana salah atau tidak bersalah bergantung kepada kuasa dan pilihan raya menggantikan mahkamah untuk menghakimi keadilan, akan menjadi negara pariah dan sasaran utama untuk penjajahan ekonomi," ujarnya.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Pemandu Bersih menegaskan, kerajaan perlu mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera berkenaan 47 kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

"Kerajaan juga perlu memastikan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) Ahmad Zahid tidak terhenti secara tiba-tiba," katanya.

Kenyataan itu juga menambah, kegagalan Pendakwa Raya dalam mematuhi tarikh permohonan rayuan terhadap Najib dan bekas Ketua Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam kes penggubahan laporan audit 1MDB juga perlu disiasat.

Sempena Hari Malaysia ke-60, Jawatankuasa Pemandu Bersih menuntut kewarasan semua parti politik dan wakil rakyat untuk mempertahankan kemerdekaan dengan menegakkan kedaulatan undang-undang serta kerajaan yang bersih.

"Kami menggemakan semula seruan kami supaya terjalinnya perjanjian damai antara parti untuk mencegah sebarang ugutan politik daripada rakan kongsi kerajaan campuran," ulasnya.