Rakyat punya hak himpun secara aman - Bersih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan pihak berkuasa bahawa rakyat mempunyai hak dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman kerana ia adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik berjalan lancar ketika perhimpunan itu berlangsung.

Katanya, diingatkan juga kepada kerajaan untuk menunaikan janji semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan iltizam untuk menyemak serta menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

"Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji tersebut kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, pihaknya kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen.

"Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa.

"Kami menggesa Parlimen dan pihak berkuasa untuk membantu himpunan menghantar memorandum secara aman dan tertib pada masa hadapan sama ada di luar atau di dalam Parlimen," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bersih turut memperbetulkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penganjur himpunan pada 16 September untuk protes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu memohon permit daripada pihak berkuasa lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

"Hal ini adalah tidak tepat memandangkan Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu.

"Kami menggesa pihak polis untuk membantu pihak yang membuat protes dengan memastikan keselamatan peserta dan juga kawalan trafik," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan perhimpunan aman bagi memulakan kempen 'Gerakan Selamatkan Malaysia" itu akan dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perhimpunan itu diadakan susulan keputusan mahkamah DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi sebelum ini.