Nahas Elmina: Dua hari kumpul badan, tisu biologi mangsa

Jarak antara impak pertama pesawat terhempas dengan mayat yang paling jauh ditemui ialah 100 meter.
Jarak antara impak pertama pesawat terhempas dengan mayat yang paling jauh ditemui ialah 100 meter.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan perubatan forensik mengambil masa dua hari untuk mengumpul anggota badan dan tisu biologi kesemua 10 mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 berhampiran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan awal, pencahayaan yang buruk pada waktu malam semasa operasi mencari dan menyelamat menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil semula sampel tisu biologi pada waktu siang.

“Pasukan perubatan forensik memasuki tapak kemalangan untuk menjalankan siasatan patologi selepas kawasan itu diisytiharkan selamat.

“Kedudukan badan, bahagian badan dan tisu biologi di tapak ditanda dan didokumenkan sebelum dikeluarkan. Semua tisu biologi kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pengenalan lanjut dan bedah siasat,” menurut laporan berkenaan yang dimuatnaik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

Laporan itu turut menyebut, mayat yang paling jauh ditemui kira-kira 100 meter daripada impak pertama pesawat terhempas.

Kesemua mangsa berjaya dikenal pasti melalui beberapa kriteria utama seperti analisis DNA, perbandingan odontologi dan cap jari serta kriteria sekunder melalui ciri badan, pakaian dan tanda lahir yang dikenali oleh ahli keluarga.

Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas.

Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53.

Artikel Berkaitan:

Turut maut dalam kejadian itu ialah juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua orang awam yang terkorban pula ialah penunggang p-hailing, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.